Khamis, 29 Ogos 2013

Kempunan Ferrari..

Hasrat seorang ahli perniagaan bergaya dengan kereta Ferrari baru berkecai, sebaliknya terpaksa menangung kerugian RM570,000 selepas wang tunai dan kereta yang diberikan kepada seorang penjual kereta sebagai bayaran pendahuluan lesap.



Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40-an mendakwa mula mengenali suspek sejak Oktober tahun lalu sebelum dipujuk membeli kereta Ferrari yang dijualnya.

Katanya, suspek kononnya mendakwa dapat menjual kereta Ferrari berkenaan dengan harga sekitar RM1.2 juta berbanding harga asal di pasaran kerana dibeli menerusi Permit Import (AP) menyebabkan harganya lebih murah.
“Tertarik dengan tawaran yang diberikan, mangsa menyerahkan kereta Jaguar miliknya bernilai RM270,000 serta wang tunai RM300,000 sebagai wang pendahuluan.

“Sebelum itu, suspek yang berusia 30-an pernah membawa Ferrari itu untuk ditunjukkan kepada mangsa menyebabkan ahli perniagaan itu tidak ragu-ragu menyerahkan kereta dan wang tunai berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, selepas wang dan kereta Jaguar milik mangsa berpindah tangan, suspek menghilangkan diri serta gagal dikesan sehingga hari ini, menyebabkan mangsa kerugian RM570,000.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 21 Ogos lalu.

Katanya, setakat ini pihak polis masih menjejaki suspek lelaki berkenaan.





Tiada ulasan: