Selasa, 10 September 2013

kerana cicak tokek...

Pemuda yang ditemui mati di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong di Jalan Rantau Panjang Bestari Jaya pada 30 Ogos lepas disyaki dibunuh kerana seekor cicak tokek yang dianggarkan bernilai RM1 juta di pasaran gelap. 
    
Berikutan itu, polis menahan secara berperingkat 16 lelaki di sekitar Selangor dan hilir Perak dari 1 September sehingga semalam dan pemilik cicak tokek iaitu seorang wanita berumur 60 tahun di Kuala Selangor berhubung kes pembunuhan Syairul Helmi Azhar, 24.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan dalam sidang media di Shah Alam semalam berkata suspek itu dipercayai diupah wanita berkenaan untuk mengesan Syairul yang dikatakan menghilangkan diri selepas diamanahkan untuk menjaga dan mencari pembeli berpotensi cicak tokek itu. 
    
Suspek dikatakan berjaya mengesan Syairul lalu berlaku pergaduhan sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa daripada senjata buatan sendiri yang mengenai rusuk kanan simati.
    
Mohd Shukri berkata polis turut merampas pelbagai barangan termasuk satu batang paip besi menyerupai selaras senjata buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, sebuah beg hitam, kain putih, enam peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sembilan telefon bimbit pelbagai jenis, pemutar skru dan playar.
    
Katanya, sehingga semalam, pihaknya belum menemui cicak tokek yang dikatakan itu.

Tiada ulasan: