Rabu, 21 Ogos 2013

Ragu aktiviti kutip derma

KUANTAN - Seorang remaja 18 tahun yang mendakwa sukarelawati pertubuhan kebajikan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diserahkan kepada pihak polis setelah penjelasannya mengenai aktiviti mengutip derma dilakukan tidak memuaskan hati beberapa pelanggan sebuah restoran di Lorong Seri Kuantan 25, di sini


Difahamkan, surat kebenaran yang ditunjukkan remaja itu tidak mencukupi untuk meyakinkan orang ramai mengenai tujuan sebenar dia berbuat demikian yang didakwa bagi membantu kanak-kanak cacat di sebuah rumah kebajikan di negeri tersebut.

Kegagalan remaja perempuan itu menunjukkan surat kebenaran atau pengesahan pihak berkuasa negeri ini juga menyebabkan dia diasak dengan pelbagai soalan oleh beberapa pelanggan di restoran berkenaan.

Tidak puas hati dengan penjelasan remaja terbabit, orang ramai menghubungi polis untuk tindakan lanjut termasuk menjalankan siasatan sama ada kegiatan mengutip derma itu sah atau didalangi sindiket yang menjadikan rumah kebajikan sebagai modal menagih simpati ‘penderma’.

Berdasarkan penjelasan remaja berkenaan, dia ke daerah ini bersama lima rakan berusia antara 16 hingga 21 tahun untuk mengutip derma bagi mengumpul dana sebuah rumah kebajikan kanak-kanak cacat di Bukit Mertajam.

Menurutnya, mereka sudah berada di sini sejak 17 Ogos lalu dan menjadikan pelanggan restoran sebagai sasaran.

“Saya ada surat kebenaran daripada pertubuhan termasuk pas pengenalan diri bagi tujuan ini, namun saya tidak tahu perlu ada kebenaran pihak berkuasa di sini,” katanya.

Dia berkata, usaha mengutip derma itu bergerak di seluruh negara dan dia dihantar ke Kuantan di bawah seorang ‘ketua’.

“Ketua hantar kami mengutip derma setiap hari dan semua kutipan akan diserahkan kepadanya untuk dikumpulkan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Teruntum, Nor Baini Abu Bakar berkata, beliau mendapat aduan daripada orang ramai berhubung kehadiran sukarelawan yang mencurigakan itu.

Menurutnya, ketika diminta menunjukkan surat kebenaran, gadis terbabit hanya menunjukkan dokumen dari sebuah pertubuhan tanpa perakuan pihak berkuasa di sini.

“Kita agak curiga dengan kegiatan ini kerana sebarang aktiviti mengutip derma dari pintu ke pintu perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa lebih-lebih lagi atas nama pertubuhan kebajikan.

“Kegiatan mengutip derma atas nama pertubuhan itu bukan pertama kali di sini, sebaliknya tahun lalu kita pernah bertemu dengan beberapa sukarelawan dan mendapati mereka menjalankan kegiatan tersebut tanpa kebenaran,” katanya.

Bimbang kegiatan itu didalangi sindiket, pihaknya mendapatkan kerjasama polis untuk melakukan siasatan lanjut.

Tiada ulasan: