Isnin, 19 Ogos 2013

Berubat cara pelik:

                                                     Dunia Oh Dunia...
                                                      
Niat sepasang suami isteri untuk berubat berakhir dengan tragedi apabila mereka terbunuh setelah melalui satu 'upacara membelasah sesama sendiri' di Pangsapuri Sri Sarawak, Jalan Imbi di sini petang semalam.
Upacara 'pelik' yang kononnya dapat mengubati penyakit mereka itu, turut mencederakan lima lagi kaum keluarga mangsa di rumah berkenaan.
Mohd. Ibrahim Kader Mydin, 47, dan isterinya, Rosina S M Mydin Pillay, 41, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sementara itu, salah seorang anak saudara mereka yang berusia 15 tahun kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala empat lagi dirawat di wad biasa di hospital sama.
Segala-galanya bermula kira-kira pukul 2 petang, apabila pasangan suami isteri terbabit yang beraya di rumah abang Rosina bersama tiga orang anak mereka berusia 14 hingga 21 tahun mengadu mengalami ketagihan rokok manakala Rosina pula menghidap penyakit hati.

Salah seorang anak saudara Rosina yang mendakwa bermimpi mendapat 'syafaat dan wahyu' untuk mengubati penyakit itu menawarkan diri menyelesaikan masalah mereka melalui upacara khas yang memerlukan mereka memukul sesama sendiri menggunakan topi keledar dan kayu sehingga pengsan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, mengikut upacara itu sebaik seseorang itu sedar, masalah yang 'menghantui' mereka dapat diselesaikan.
Beliau memberitahu, bagaimanapun sebaik upacara itu selesai kira-kira lima jam kemudian, ahli keluarga mereka mulai cemas apabila kedua-dua mangsa tidak sedar.

''Salah seorang daripada mereka bertindak menghubungi ambulans sebelum pasukan kecemasan yang tiba kira-kira pukul 9 malam mengesahkan kedua-dua mangsa mati,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Berdasarkan siasatan awal, beliau yakin mangsa mati akibat cedera parah di kepala.
Katanya, anggota badan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sejurus selepas itu katanya, polis menahan reman empat lelaki selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka dipercayai mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa.
Chin Wah berkata, kesemua suspek yang berusia 17 hingga 50 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 304 kanun yang sama.

polis menemui dua buah topi keledar dan beberapa batang penyapu yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu hasil pemeriksaan di rumah tersebut.



Tiada ulasan: